LAPORAN HARI SUKAN TAHUNAN MAKTAB RENDAH SAINS MARA (MRSM) BALIK PULAU 2020

    Pada tanggal 2 hingga 4 Mac 2020, Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau telah mengadakan temasya sukan tahunan yang ke-30. Tujuan hari sukan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat  atlet-atlet yang berpotensi tinggi dalam kalangan pelajar. Anak-anak muda generasi hari ini kelihatan lebih aktif dan produktif dalam bidang sukan sama ada di peringkat sekolah, peringkat daerah, peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan dan lain-lain lagi. Selain itu, para pelajar juga dapat memupuk minat bersukan dalam diri masing-masing. Para pelajar yang kurang aktif  bersukan juga dapat membuka hati serta minda mereka dalam aktiviti sukan.

   Persiapan dilakukan dengan begitu rapi sebelum hari sukan bermula.Antaranya ialah para pelajar begitu bersungguh-sungguh dalam menjalani latihan rumah sukan yang dipantau oleh guru-guru rumah sukan masing-masing. Selain itu, para pelajar turut bertungkus lumus memerah idea dalam menghias khemah rumah sukan mengikut tema yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, rumah sukan Suria iaitu mewakili rumah kuning menggunakan tema lebah untuk hiasan khemah. Rumah-rumah sukan yang akan bertanding pada tahun ini ialah rumah Suria(kuning), Purnama(merah), Belantara(hijau) Samudera(biru) dan akhir sekali Kejora(ungu)

    Hari Sukantara telahpun diadakan pada tarikh 2 Mac 2020 yang bertujuan untuk menambah mata bagi rumah sukan masing-masing. Sukantara ialah sebuah acara yang melibatkan semua pelajar di mana setiap pelajar akan diberi peluang untuk menyumbang mata bagi rumah sukan masing-masing. Acara yang wajib disertai oleh pelajar ialah acara larian 100 meter , lompat jauh serta lontar peluru. Semua pelajar begitu komited menyertai acara sukantara tersebut demi meraih mata untuk bergelar juara pada tahun ini.

    Pada keesokan harinya, tanggal 3 Mac 2020 berlangsunglah hari pertama bagi Sukan Tahunan tahun 2020. Seawal jam lapan pagi, para pelajar diarahkan untuk berkumpul di bawah khemah masing-masing untuk diberikan taklimat serta kata-kata motivasi kepada para peserta. Acara yang dipertandingkan pada waktu pagi ialah acara lontar peluru, lempar cakera, rejam lembing, 100 meter, 200 meter, dan 800 meter. Acara 4x400 meter menjadi acara tarikan pada hari itu. Pada waktu petang, Hari Sukan diteruskan dengan acara lompat jauh. Pelajar yang tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti diminta untuk menghias khemah serta membuat latihan kawad kaki sebagai persiapan menjelang hari esok.

   Pada tanggal 4 Mac 2020  telah berlangsungnya hari kemuncak sukan bagi tahun 2020. Acara yang dipertandingkan pula pada hari itu ialah 400 meter serta 4x100 meter. Selepas tamat acara tersebut, semua warga MRSM Balik Pulau diminta berkumpul di tengah padang bagi sesi penutupan Hari Sukan Tahunan yang ke-30 bagi tahun 2020. Acara tersebut dimulakan dengan persembahan kawad kaki bagi setiap rumah sukan. Kemudian diteruskan pula ucapan dari YDP Muafakat MRSM Balik Pulau iaitu Encik Ismail bin Kassim. Selepas itu, kedudukan rumah sukan pula diumumkan. Gelaran juara dirangkul oleh rumah sukan Kejora manakala naib johan pula jatuh kepada rumah sukan Belantara. Kedudukan tersebut kemudian disusuli oleh rumah sukan Purnama, Samudera dan Suria.

    Hari Sukan Tahunan 2020 melabuhkan tirai dengan sesi penggambaran mengikut rumah sukan masing-masing. Semua pelajar mengambil gambar untuk dijadikan sebagai kenang-kenangan. Perasaan yang bercampur baur seperti gembira, teruja dan penat turut hadir dalam diri masing-masing. Selepas itu, semua pelajar dibenarkan untuk naik ke asrama masing-masing untuk membersih dan merehatkan diri. Para pelajar bertekad untuk menyertai acara pada tahun hadapan dan berusaha bersama-sama demi meningkatkan kedudukan rumah sukan. Kesimpulannya, hari sukan pada tahun ini telah menambahkan sikap kerjasama sesama pelajar dan guru dalam masa yang sama mengajar pelajar bagi memberikan komitmen dalam sesuatu perkara yang kita sertai.


Laporan disediakan oleh,                                                                                        23 Mac 2020.
(MUHD IMAN AFHAM BIN IBRAHIM)
Editor majalah E-sukan,
MRSM Balik Pulau

Comments

Popular posts from this blog